Tuesday 14 June 2011

Switzerland...

Berlatarbelakangkan Banjaran Alps
Oleh Minarni Mat Saad
                                                              minarni@bharian.com.my
SEBUT Switzerland, selain terkenal dengan pemandangan yang indah dan hamparan salji memutih di Banjaran Alps, negara ini juga sinonim dengan pelbagai jenama jam mewah seperti Oris,  TAG  Heuer, Rolex, Milus, Swatch, Tissot dan Philippe Patek, sekadar menyebut beberapa  nama.  Pendek kata tidak   sah jika melancong ke Switzerland tanpa membawa pulang seutas jam tangan berjenama untuk diri sendiri atau sebagai cenderahati buat yang tersayang.
Ini kerana selain pembuatan yang berkualiti, jam di negara ini adalah koleksi terkini yang belum ada lagi di negara kita.
  Impian untuk melancong ke Switzerland, destinasi yang menjadi idaman setiap orang menjadi kenyataan apabila baru-baru ini saya berpeluang menjejakkan kaki ke negara Alpine yang terkenal dengan pembuatan jam berjenama itu.
  Selama enam hari,  saya menikmati pengalaman yang sangat menarik yang sukar dilupakan seumur hidup. Keindahan alam  alam semula jadinya yang cukup indah dengan udara bersih dan segar memang mengagumkan sesiapa saja yang berkunjung ke sana.
  Berada di mana-mana bandaraya utama di Switzerland seperti Berne, Zurich, Geneva atau Lucerne membuatkan kita umpama seorang yang sangat menghargai masa. Sesuai dengan pepatah `Masa Itu Emas’, deretan kedai jam berjenama menyambut pelancong sebaik saja menjejakkan kaki di bandar berkenaan. Malah, simbol jam pelbagai bentuk menjadi hiasan di pintu masuk kedai.
  Selain membeli jam tangan, Switzerland juga terkenal dengan jam cuckoo dan difahamkan jam cuckoo dari negara ini adalah yang terbaik hasil buatannya.
Airport Zurich
  Jadi tidak hairanlah sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Zurich, ramai dikalangan anggota rombongan kami  mula berkira-kira dalam hati untuk membeli jam tangan jenama mewah yang diimpikan.
                                   HARI PERTAMA 
  Melalui penerbangan Qatar Airline, kami menempuh perjalanan kira-kira 14 jam untuk tiba di Zurich. Transit di Lapangan Terbang Doha memang memenatkan sebab ketika itu jam sudah menunjukkan hampir 1 pagi. Waktu tidur sebenarnya. Namun, apabila menyambung semula penerbangan ke Zurich, perasaan teruja kembali menguasai diri.
Saya sendiri rasa macam tidak percaya akhirnya impian untuk menjejakkan kaki ke Switzerland akan menjadi kenyataan. Malah, saya pernah menyebut pada suami yang Switzerland adalah kemuncak kepada akviti melancong saya keluar negara. "Lepas pergi ke Switzerland lengkap dah hidup ini, kalau tak nak berjalan lagi pun dah tak apa...dah puas," kata saya.
    Sebaik saja menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich, debaran mula terasa di kalangan anggota rombongan yang membawa bekalan makanan seperti sambal ikan bilis, serunding daging dan rendang ayam kerana bimbang tidak boleh dibawa masuk. Apatah lagi melihat ada anjing besar berbulu lebat menemani pegawai Imigresen membuat pemeriksaan ke atas bagasi.

Bandar Zurich

  Bagaimanapun, semuanya berakhir dengan selamat kerana membawa masuk makanan seperti itu tidak menjadi larangan di sana.
  Memandangkan kami tiba pada hari Ahad, banyak kedai ditutup. Oleh itu, rancangan awal untuk membawa rombongan ke kilang Schoenenwerd Bally ditunda. Pemandu pelancong, Richard Tan dari Golden Tourworld Travel  memilih untuk terus membawa anggota rombongan ke Rhine Falls di Schaffhausen iaitu air terjun terbesar di benua Eropah yang menjadi tarikan pelancong di Switzerland.
  Walaupun penat kerana perlu menempuh dua jam lagi perjalanan, ia tidak menjadi hal kerana pemandangan indah di sepanjang jalan membuatkan kami sangat teruja. Deretan pokok dengan daun berwarna jingga menarik perhatian kerana musim luruh masih lagi bersisa menunggu ketibaan musim dingin.                          
 Keindahan air terjun Rhine Falls dan cuaca dingin menyambut ketibaan kami di Schaffhausen. Sesiapa saja yang berada di sini pasti terpegun melihat air terjun setinggi 23 meter dan lebarnya 150 meter ini.
  Selepas sejam berada di situ dan puas bergambar, rombongan dibawa bersolat di Masjid Mahmud dan bertolak ke Lucern atau Luzern (dalam bahasa Swiss) untuk menikmati makan malam.

  Paling enak bila dihidangkan dengan makanan tradisi masyarakat Swiss iaitu sup coklat yang dipanggil `fundo’. Menariknya pelbagai jenis buah-buahan dipotong dan dicelupkan ke dalam sup coklat panas ini. Memang lazat rasanya.
  Seterusnya kami `check in’ di Hotel Astoria yang terletak lokasi strategik di tengah bandar berdekatan dengan deretan butik dan kedai cenderahati. 
  Bandar Lucerne  terletak di tengah-tengah Switzerland dan dikelilingi Tasik Lucern
Dengan penduduk kira-kira 60,000 orang, bandar ini dikatakan destinasi pelancongan paling menarik di Switzerland. Keindahan tasik dengan burung camar berterbangan pada waktu petang membangkitkan suasana romantis menjadikan Switzerland adalah yang negara paling menarik dan tercantik di Eropah.


Sempat posing di depan Hotel Astoria
                                                        

                                     HARI KEDUA
 Hari kedua adalah yang sangat ditunggu-tunggu semua anggota rombongan kerana berpeluang menjejakkan kaki ke Mount Titlis salah satu puncak gunung popular yang terdapat di Banjaran Alps. Gunung Titlis setinggi 3,238 meter terletak di sempadan antara wilayah  Obwalden dan Berne di Switzerland.
  Dari puncak Mount Titlis yang mencatatkan ketinggian, pengunjung menyaksikan panorama gunung diselaputi salji yang amat mengagumkan. Berpeluang memasuki gua glasiar yang terletak di puncak Titlis serta menjelajah 20 meter ke bawah permukaan gua itu memberikan pengalaman yang berbeza buat  kami.
  Untuk tiba di puncak, pelancong perlu menaiki tiga kenderaan iaitu gondola, elevator kotak dan kereta kabel berputar yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk tiba di puncak tertinggi.
  Puas bermain salji, kami kembali ke Lucerne dan melawat Lion Monument iaitu tugu yang dibina bagi memperingati tentera Switzerland yang terkorban dalam peperangan. Menariknya ukiran tugu yang diperbuat daripada batu itu menggambarkan seekor singa jantan yang sedang tidur dengan air muka yang sangat sedih.

  Kami juga sempat singgah di bandar Lucerne dan bersiar-siar di Chappel Bridge iaitu jambatan dan menara berusia ratusan tahun yang merentangi Tasik Lucern. Bangunan ini pernah terbakar dan dibina semula mengikut reka bentuk asal. Chappel Bridge adalah laluan kayu menuju ke menara yang terletak di tengah-tengah tasik.
  Menara ini bagaikan mercu tanda ke Switzerland dan menjadi lokasi paling popular dan `mesti’ bergambar bagi pelancong kerana bentuknya yang unik. Suatu ketika dulu ia pernah dijadikan penjara, kamar seksaan, menara tinjau dan perbendaharaan negara  dan hari ini digunakan sebagai dewan persatuan artileri.      
  Zurich bagaikan kota yang dikelilingi tasik. Bandar ini memiliki kualiti hidup yang terbaik di dunia dan dikatakan kota yang biaya hidup termahal di dunia. Penduduk di sini amat mementingkan nilai kekeluargaan menjadikan mereka amat mematuhi waktu bekerja iaitu dari 8 pagi hingga 5 petang. Mereka  tidak akan bekerja pada hari minggu kerana waktu itu digunakan untuk bersantai bersama ahli keluarga dan sanak saudara. 
  Terdapat 50 muzium, 27 perpustakaan dan lebih 100 galeri seni serta institusi budaya seperti panggung wayang, opera, teater dan pusat konsert yang menghasilkan karya seni klasik juga moden di Zurich untuk penduduk menghabiskan masa rehat mereka bersama keluarga.
  Sebagai kota tumpuan pelancong, Kota Zurich umpama jantung kepada Switzerland. bagi mereka yang gemar berbelanja di sinilah tempatnya. Kota Zurich menawarkan pelbagai butik ekslusif bertaraf antarabangsa. banyak butik menawarkan fesyen terkini dengan jenama kegilaan wanita seperti Gucci, Prada, LV  dan Jimmy Choo.
   Kota Zurich beruntung kerana tidak musnah pada Perang Dunia ke-11 seperti kota besar lain di Eropah. Kota ini tidak terlalu berubah sejak zaman pertengahan, bahkan selama perang dunia Zurich bertuah kerana menjadi tempat pelarian seniman, bintang filem dan golongan intelektual.
Benar kata mereka yang pernah berkunjung ke Zurich, kota ini sangat nyaman dan menyenangkan untuk dikunjungi.

                                                              HARI KETIGA

  Hari ketiga, rombongan mengunjungi kedai ukiran kayu yang antara terbesar di Brienz untuk melihat seni halus pertukangan tangan seterusnya menaiki feri dari Brienz ke Interlaken. Sepanjang perjalanan menikmati pemandangan indah Tasik Brienz dan tidak melepaskan peluang bergambar habis-habisan.

  Pemandangan di Interlaken amat romantis dan indah kerana berlatar belakangkan Banjaran Alps yang diliputi salji. Sempat juga saya meninjau produksi dari Bollywood yang sedang mengadakan penggambaran di sini, sayangnya bukan Arjun Rampal atau Amir Khan yang menjadi `favourite’ saya sedang beraksi sebagai hero.
                                                       HARI KEEMPAT
  Hari keempat kami  dibawa menyeberangi sempadan ke Jerman melalui perjalanan kira-kira tiga jam dan tiba di Tasik Titisee yang cantik untuk menikmati hidangan tengahari di sebuah restoran yang menghadap tasik. Tasik Titisee juga terkefal dengan jam cuckoo iaitu jam buatan tangan. Di sini, ramai yang tidak melepaskan peluang membeli jam cuckoo serta cenderahati kerana harganya lebih berpatutan.
  Seterusnya, bas membawa anggota rombongan kembali ke Zurich. Sepanjang perjalanan kami asyik menikmati pemandangan indah bukit bukau, melalui kawasan hutan simpan pokok pain yang tumbuh semula jadi dalam barisan yang tersusun indah serta merentasi ladang yang terbentang luas. Sejenak saya terkenangkan suasana seperti digambarkan dalam kisah dongeng kanak-kanak `Hansel and Gretel’ serta drama siri kegemaran saya di zaman kanak-kanak `Little House on The Prairie’.

                                                            HARI KELIMA
  Rombongan dibawa  bermalam di hotel Swissotel yang  bertaraf empat bintang.  Selepas breakfast, kami dibawa ke gudang Bally, kasut jenama mewah buatan Switzerland. Harga kasut semuanya boleh tahan......paling murah RM500 sepasang dan ada yang mencecah hingga RM3,000.
   Seterusnya kami dibawa untuk menikmati makan tengahari yg bagi saya sangat membosankan. Walaupun suasana restorannya kelihatan mewah tetapi makanan yang disaji aduhhh...tidaklah sangat menyedihkan buat kaki makan seperti saya. Menunya, nasi putih, sup kosong, sayur  dan ikan.... Namun cukuplah untuk mengalas perut.
   Apapun, rombongan sangat berpuas hati dan terkejut apabila dibawa menikmati makan malam di sebuah restoran milik rakyat Malaysia yang sudah lebih 20 tahun bermastautin di sana. Pemiliknya seorang Datuk dari Brickfields dan makanan di sini halal. Chefnya pula adalah anak Melayu berkelulusan UiTM yang sudah 10 tahun bekerja di sini.
   Malam itu sungguh nikmat dan semua anggota rombongan makan dengan penuh berselera. Ada tomyam, udang masak sambal, ayam masak lemak, sambal telur, sayur campur dan mee goreng.....Fuhh sangat menyelerakan.
                                                          HARI KEENAM
  Hari terakhir dihabiskan dengan sesi mengambil gambar di sekitar kawasan hotel, membeli coklat dan pelbagai cenderahati untuk dibawa pulang. Memandangkan kedudukan hotel yang terletak di tengah bandar dikelilingi pusat membeli belah membolehkan kami menikmati pengalaman `bershopping’ yang hebat pada hari terakhir sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

  Melancong ke Switzerland memang sangat indah dan menjadi kenangan manis yang tak akan saya lupakan sampai bila-bila. Apatah lagi bila melihat gambar saya berlatar belakangkan Banjaran Swiss yang diliputi salji umpama gambar posterkan...cantik sekali. 


Bapa....Kaulah sumber ilhamku

Hari Bapa kembali diraikan pada 18 Jun ini. Bagi yang masih mempunyai bapa, anda sangat bertuah. Sayangilah bapa anda kerana tanpanya tiada anda di dunia ini.