Sunday 29 April 2012

TUAH SEEKOR ANAK KUCING JALANAN


                    Tuah ayam nampak di taji, tuah manusia siapa tahu, tuah kucing nampak di mana?....

       Inilah yang dikatakan tuah. Kadang-kadang dalam hidup ini kita tidak tahu apa akan jadi pada masa depan kita. Mungkin hari ini kita biasa-biasa, esok-esok kita tidak tahu kita akan jadi siapa. Mana tahu rezeki tanpa diduga, nasib menyebelahi kita. Daripada yang biasa-biasa tu, bertukar menjadi  usahawan berjaya,  jadi jutawan melalui MLM, jadi ahli politik disegani, dapat pangkat `Datuk'... dan macam-macam lagi... semua Itu kuasa Allah yang mahu memberi rezeki dan mengubah kehidupan kita.
      
        Tapi saya bukan nak menceritakan pasal tuah manusia ni.... manusia ini sebenarnya makhluk Allah yang paling bertuah. Cuma kena tahu  menggunakan tuah yang sudah Allah kurniakan itu dengan sebaik mungkin,  digilap dibaja hingga bersinar. Hanya Hang Tuah saja yang dilahirkan dengan tuah sejak kecil secara semula jadi. Orang lain kena kerja keras untuk menuai hasil tuah itu.

        Sebenarnya saya nak menceritakan mengenai tuah sang kucing jalanan. Kira-kira empat hari lalu, seekor anak kucing yang berusia kira-kira sebulan terpacul di depan rumah kami. Mungkin baru dibuang oleh tuannya yang tidak mahu membela anak kucing itu. Bagaikan anak ayam kehilangan ibu, tapi ini anak kucing, cuma nasibnya macam anak ayam yang tiada ibulah... terpaksa pinjam peribahasa anak ayam, sebab tak ada pula peribahasa pasal kucing....

         Dengan tubuh yang kurus, berjalan terketar-ketar mungkin sudah berjam-jam tidak menjamah makanan, anak kucing itu mengiau-ngiau kuat di depan pagar rumah saya. Kasihan, sepatutnya anak kucing sebesar itu masih memerlukan kasih ibu, susu ibu adalah makanan terbaik untuk anak, tak kiralah ibu kucing, ibu gajah atau ibu harimau sekali pun, tetap diperlukan oleh anak-anak masing-masing.

        Malangnya ramai juga dikalangan kita yang hanya mahukan ibu kucing tetapi enggan menerima kehadiran anaknya. Maka sering kita temui anak kucing bersepah-sepah di merata tempat. Ada yang bernasib malang kena langgar begitu saja, terlenyek di atas jalan. Ini saya alami sendiri kira-kira sebulan lalu. Bukan salah saya. Saya tak sedar langsung. Tiada niat untuk mengorbankan seekor anak kucing yang tidak berdosa. Tapi jika itu takdirnya, apa nak buat. Kita hanya merancang tapi Allah menentukan.

         Ketika mengundur kereta saya langsung tidak sedar saya melenyek seekor anak kucing jalanan yang menumpang tidur di bawah kereta. Sadis sungguh melihat badan anak kucing itu separas dengan lantai... Bila anak lelaki saya, Danish Amri pulang dari sekolah dan melihat keadaan anak kucing itu sedang tercunggap-cunggap nazak, dia menangis. Dia angkat anak kucing itu dan letak atas kertas surat khabar sementara menanti ajal.  Dia enggan makan dan enggan pergi sekolah petang kerana matanya bengkak akibat menangis. Sehinggalah kucing itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya sangat terkesan dengan kejadian itu kerana sudah 25 tahun saya memandu tanpa pernah mengorbankan sebarang nyawa hatta seekor cicak pun di atas jalan, tapi hari itu saya langgar anak kucing. Huaaaaaaaa!!!!

           Berbalik kepada anak kucing jalanan tadi. Memang rezeki dia kerana secara tiba-tiba kami terpanggil untuk melayan karenah Danish yang sudah sekian lama merayu-rayu mahu membela kucing.Apatah lagi bila mengingatkan peristiwa terlanggar anak kucing malang dulu tu membuatkan kami tewas dengan rayuan Danish. Akhirnya, Danish sangat gembira dapat memiliki seekor anak kucing.  Siap pesan supaya saya belikan Friskis untuk sajian anak kucing yang dinamakan Comi. Mana dia dapat idea untuk letak nama tu saya pun tak pasti.          

          Selepas diberi makan dan dilapkan badannya, maka segarlah si Comi. Maka bermulalah kehidupannya sebagai sebahagian daripada famili kami. Ada ibu, ada baba, ada anak perempuan, ada anak lelaki dan ada seekor anak kucing. Si Comi ni pandai pulak mengambil hati. Macam dia tau-tau yang anak pungut jangan banyak hal. Jangan buat bagi orang marah. Jadi dia sentiasa menceriakan kami dengan gelagatnya. Kalau nak melepaskan hajatnya, dia korek tanah dalam pasu kosong bukan melepaskan atas lantai mcm sesetengah kucing yang tak reti bahasa tu.

           Rupa-rupanya perangai si Comi ni macam budak kecik yang baru nak membesar. Buas sungguh. Tak boleh duduk diam. Duduk diam hanya bila dia tidur. Pandai pulak tu mencari tempat sedap-sedap, empuk-empuk dan nyaman-nyaman untuk landing dan zzzzzzzzz. Siap tidur atas sofa yang terletak bawah aircond lagi. Bertuahnya kau si Comi oiiii.  Mana la ibu dan adik beradik kau agaknya. Adakah hidup mereka sebahagia dan seenak hidup kau. Kucing lain dok merempat di luar kena kejar dengan anjing, kena gomol dengan kucing jantan, kena hujan kena basah, makan pula bak kais pagi makan pagi kais petang makan petang (laaaaaa pinjam peribahasa ayam lagi, baru tau rupanya ayam ni favourite dalam peribahasa Melayu). ...kau sedap-sedap beradu dalam rumah. Bersyukurlah kau wahai Comi!

         Tapi time tidur dalam rumah setakat jam 3 pagi jer... lepas tu kena keluar tidur di luar sebab pagi-pagi Comi nak melepaskan hajatnya.  Ada si Comi ni macam ada anak kecik. Dia panjat sana dia panjat sini. Saya tengah menaip dia naik atas PC, kami goyang kaki dia tangkap, kadang-kadang kami duduk berdua-dua suami isteri dia datang duduk kat tengah. Kacau daun betul! Kadang-kadang dia landing sebelah Danish. Dengan anak perempuan saya, Amni dia cuak sikit, sebab Amni ni kasar sikit. Kucing pun pandai.... tapi sekarang dia dah biasa dengan Amni, dah boleh bergurau senda. Inilah yang dikatakan Comi dapat tuah hasil daripada kematian anak kucing lain. Mudah-mudahan Comi juga mendoakan kesejahteraan keluarga kami...
  
             
                                    WE COULD BE A STAR FALLING FROM THE SKY
                                               SHINING BRIGHTER THAN THE SUN

1 comment:

  1. sama sgt mcm kucing saya domok..sebijik perangai.. jantung hati saya jugak.. my 2 kids pun sama jugak.. yg beria2 nk kan kucing nie my boy.. last2 saya yg jd pencacai najis si kucing..haish..diorg best jek main

    ReplyDelete