Tuesday, 1 May 2012

VIETNAM SYURGA BELI BELAH

Oleh Minarni Mat Saad
minarni@bharian.com.my


SEBUT saja Vietnam, apa yang terlintas di fikiran kita ialah peperangan. Vietnam melalui sejarah peperangan yang panjang dengan Amerika sehingga mengorbankan banyak nyawa serta  meninggalkan ribuan kisah duka rakyatnya. Menentang kuasa besar sehebat Amerika bukan mudah bagi sebuah negara kecil seperti Vietnam, dengan segala kekurangan hanya berbekalkan kudrat dan semangat juang mereka menentang Amerika yang dilengkapi peralatan ketenteraan canggih.
  Kita juga disogokkan dengan banyak filem perang mengaitkan tentera Amerika yang menggambarkan Amerika memenangi perang itu. Salah satu filem perang Vietnam yang sangat popular ialah `Rambo’ dibintangi Silvester Stallone.
  Dalam filem itu,  Rambo dikisahkan sebagai tentera Amerika yang memiliki kemampuan dan kehebatan luar biasa bertarung di tengah hutan sehingga berjaya menewaskan ratusan hingga ribuan tentera Vietkong.
  Dengan hanya berbekalkan senjata automatik AK47 dan sebuah pisau, Rambo mengatasi ribuan peluru yang menghujani beliau, mengharungi gerila Vietkong seorang diri hingga berjaya menyelamatkan diri. Hebat bukan.
  Bagi penulis, tentera Amerika tidaklah sehebat mana kerana seperti sudah kita maklum mereka memiliki segala keupayaan untuk berperang berbanding tentera Vietkong.
  Berada di Terowong Cu Chi (yang disebut Shu Chi) menyedarkan penulis bahawa semangat dan perjuangan rakyat Vietnam yang tinggi mampu mengatasi senjata dan peralatan perang canggih dimiliki Amerika.
  Peluang berkunjung ke Ho Chi Minh City yang dulunya dikenali Saigon bersama lebih 600 pengedar Hai-O Marketing yang berjaya mencapai sasaran jualan tahunan ditetapkan syarikat membolehkan kami menghayati semangat juang rakyat Vietnam. Demi sebuah kemerdekaan, mereka tabah mengharungi perang yang panjang.   
  Lawatan sambil belajar dan percutian insentif selama empat hari itu selain bagi menghargai usaha dan kerja keras pengedarnya, bertujuan merapatkan silaturahim dan menyuntik semangat juang kepada  pengedar Hai-O dalam mengusahakan perniagaan mereka.
   Terletak kira-kira 70 kilometer atau sejam perjalanan dari bandar Ho Chi Minh, terowong bawah tanah sepanjang 250 kilometer ini dibina gerila Vietkong ketika peperangan menentang tentera Amerika.
  Terowong ini unik kerana menghubungkan lokasi bawah tanah yang menempatkan sekolah, pusat perubatan, dewan bermesyuarat dan tempat menyimpan senjata. Kawasan ini dikelilingi bermacam bentuk jerangkap samar seperti buluh runcing dalam tanah yang cukup digeruni tentera Amerika.
  Lokasi yang menjadi kubu Vietkong ini adalah tarikan sebenar ke Vietnam. Ramai yang bersetuju ia adalah antara destinasi pelancongan terbaik dunia yang berasaskan sejarah.
  Berada di Terowong Cu Chi bagaikan menyingkap kembali memori hitam generasi Vietkong yang masih wujud sehingga hari ini apabila melihat tinggalan kisah perit rakyat negara itu menghadapi peperangan dengan kuasa besar dunia.
  Reka bentuk di bawahnya memang unik bagaikan sarang labah-labah dengan binaan tiga tingkat. Tingkat paling bawah adalah laluan lepas lari ke Sungai Saigon. Dalam tempoh 20 tahun, jarak terowong yang disiapkan hanyalah sejauh 48 kilometer semasa perang dengan Perancis.
  Uniknya, terowong berkenaan dibina tanpa sebarang jentera canggih sebaliknya gerila Vietkong menggunakan peralatan tradisional seperti cangkul dan pisau kayu untuk menggali lubang. 
  Vietkong terus membina terowong ini sepanjang era Perang Vietnam bagi menentang Amerika Syarikat dan sekutunya dari  1959 hingga 1975 menjadikan panjang keseluruhan terowong mencecah 250 kilometer. Difahamkan ada antara 7,000 hingga 8,000 Vietkong dan keluarga mereka tinggal dalam terowong sepanjang kemelut perang yang berakhir pada 30 April 1975.
  Bagi menyelami suasana di zaman perang Vietnam, pengunjung dipelawa masuk dalam lubang yang hanya muat-muat tubuh kita. Sebaik melepasi lubang itu siapa yang mahu menguji ketahanan diri boleh merangkak dalam terowong yang sangat sempit dan panas untuk tiba di ruang lebih besar.
  Pembinaan terowong itu juga sangat teliti kerana sukar dikesan tentera Amerika walaupun mereka berjalan di atasnya. Gerila Vietkong juga menggunakan helah meletakkan cebisan baju seragam tentera Amerika yang terbunuh di pintu lubang terowong itu bagi mengelirukan anjing pengesan Amerika.
  Helah ini menggagalkan rancangan Amerika mencari mereka apabila anjing pengesan tidak akan menyalak di pintu lubang kerana beranggapan tentera Amerika berada dalam lubang itu.       
  Pengunjung juga dibawa ke kawasan dapur yang dibina dengan unik sekali apabila asap tidak keluar di corong dapur sebaliknya melalui terowong yang dibina hingga ke sungai. Asap itu akan keluar di sungai bagi mengelakkan tentera Amerika mengesan aktiviti Vietkong.
  Kami juga bergambar dengan patung Vietkong yang menggambarkan situasi kehidupan mereka ketika itu, melihat senjata dan kereta kebal, demonstrasi memasak kuih tradisional, ubat kuat, dan popia yang menjadi makan mereka ketika itu.
  Anda boleh juga merasai makanan ubi kayu rebus di cicah dengan kacang tumbuk yang pernah mengisi perut pejuang Vietkong dan mencuba kemahiran menembak di lapang sasar.
  Selain melawat destinasi bersejarah itu, kami juga dibawa ke  War Remnants Museum dikenali sebagai pusat pameran jenayah perang Amerika. Di sini, pengunjung melalui pengalaman menyentuh hati melihat pelbagai artifak seperti bom dan senjata api serta gambar kekejaman tentera Amerika terhadap penduduk awam sewaktu perang Vietnam.
  Siapa yang tidak tersentuh hati melihat bagaimana penduduk awam disiksa dengan kaedah penyeksaan yang di luar perikemanusiaan. Walaupun selepas 23 tahun perang berakhir, kesannya masih dirasai rakyat Vietnam. Ramai yang menderita, ada yang cacat, anak-anak menjadi yatim piatu, kehilangan isteri, suami, anak dan saudara.
  Itu cerita duka. Sebaliknya kisah gembira di Vietnam juga ada. Tidak sah berkunjung ke Vietnam jika tidak membeli belah sepuas hati. Inilah acara yang  memang dinantikan. Tempat membeli belah paling popular ialah pasar Ben Thanh. Pasar ini ditutup jam 6 petang. Tetapi jangan risau kerana boleh disambung pada malam hari apabila pasar malam pula dibuka bersebelahan pasar Ben Thanh itu.
  Membeli belah di pasar Ben Thanh jauh lebih selesa berbanding Pasar Chatuchak di Bangkok kerana di sini lebih tersusun sama ada kedudukan gerai dan pintu masuk luas dari pelbagai arah. Laluan lorong juga lebar dan tidak membuatkan kita merasa sesak nafas. Jadi pengunjung boleh berada selama mana pun di sini. Apa yang penting, tagline kami di situ ialah `tawar jangan tak tawar’
  Menariknya, peniaga di sini menyediakan khidmat menjahit baju pelbagai fesyen. Malah, mereka menyediakan banyak album pelbagai fesyen yang diambil daripada majalah di Malaysia. Hanya tunjuk saja fesyen apa yang berkenan di hati, pilih kain, ukur dan siap dalam masa sehari dengan harga antara RM70 hingga RM150 mengikut kain. 
  Pasar malam ini memang membuatkan pengunjung rambang mata dengan pelbagai produk yang sangat berkualiti dan cantik tetapi harganya murah. Bayangkan, siapa yang tidak kelabu mata apabila melihat baju kurung siap disulam manik dan labuci boleh dibeli pada harga 300,000 Vietnam Dong (kira-kira RM48) sedangkan baju yang sama pernah penulis beli di Kuala Lumpur pada harga RM280.
  Begitu juga kasut, kain ela, telekung, cenderahati semuanya boleh dibeli dengan harga murah asalkan pandai tawar-menawar. Telekung Vietnam menjadi kegemaran ramai kerana selain bunganya yang cantik dan bercorak eksklusif, kainnya diperbuat daripada kapas sutera yang sangat berkualiti, lembut, selesa dan sejuk apabila memakainya.
  Jangan terperanjat apabila berjalan di bandar kerana dipenuhi dengan ribuan motosikal bersimpang siur. Jika diberi motosikal atau kereta pun untuk dipandu di tengah bandar, penulis angkat tangan kerana tidak berani mengharungi lalu lintas yang memeningkan kepala. Peliknya, sepanjang empat hari di sana, sekali pun kami tidak bertembung dengan kemalangan jalan raya.
  Mencari makanan halal tidak susah di Vietnam kerana semakin banyak restoran Muslim dibuka, termasuk ada yang dimiliki rakyat Malaysia manakala pekerja kebanyakannya adalah orang Islam dari Kemboja.
  Malah, Hotel Equatorial tempat kami menginap turut menyediakan makanan halal. Apa yang menariknya, penulis bertemu dengan chef Vincent yang berasal dari Kangar, Perlis dan sudah 15 tahun menetap berkhidmat di situ.
  Kira-kira lima minit berjalan dari Hotel Equatorial kami menikmati makan tengahari di Restoran Seri Penang yang dimiliki anak jati Pulau Pinang. Menunya sangat enak, tomyam, sayur campur, ikan siakap masak tiga rasa, gulai ikan dan sambal udang sungguh menambat selera.
  Kami juga menikmati makan malam di Restoran D’Nyonya yang menyediakan masakan ala Melaka serta ke Restoran Shamsudin di Le Hong Phong Street yang membuatkan kami makan dengan penuh berselera kerana masakannya seperti di Malaysia. Sajian ayam goreng berempah, sup sayur, ikan siakap masam manis memang membuatkan kami makan bertambah.
  Sepanjang percutian empat hari itu, kami sangat teruja terutama pada malam akhir lawatan apabila diadakan jamuan makan malam gala dengan masing-masing memperagakan baju glamour terbaru yang ditempah di Ben Thanh.

No comments:

Post a Comment