Sunday, 20 May 2012

KEMBARA PERTH




PERTH, bukanlah satu destinasi percutian asing buat rakyat Malaysia. Penulis percaya ramai di kalangan rakyat Malaysia pernah melancong ke Perth apatah lagi dengan adanya penerbangan terus Airasia dan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ke sana.
  Oleh itu, sebaik memilih Perth sebagai destinasi pelancongan keluarga, penulis mula melayari internet untuk mencari sesuatu yang berbeza dalam lawatan kami nanti. “Lain Daripada Orang Lain” itulah tagline kami untuk pelancongan kali ini.
  Maklumlah kalau sebut Perth, ramai orang pernah ke sana, jadi kita kena cari kelainan dan pergi ke tempat yang orang Malaysia tidak pergi.
  Hasil daripada carian internet, penulis bertemu dengan pemilik Jutawantours, agensi pelancongan milik rakyat Malaysia yang menetap di sana. Berdasarkan jadual pelancongan yang diemel oleh pemilik Jutawan Tours itu, Datuk Abu Bakar Hashim, maka bermulalah perasaan teruja kami sekeluarga untuk melancong ke sana.
  Walaupun pernah melancong bersama keluarga ke Australia pada 2003, tapi lawatan kali ini dijangka lebih menarik kerana anak-anak sudah besar dan mereka pasti akan teruja bertemu kangaru dan koala.

  Apatah lagi percutian kali ini disertai sahabat , Puan Hamidah Asararuddin sekeluarga.
  Percutian kami selama enam hari ke Perth bermula pada 28 November hingga 3 Disember lalu. Memandangkan cuaca di Australia berbeza daripada negara empat musim lain, maka tarikh itu kami menempuh musim panas. Di Australia, musim sejuk adalah pada Mei, Jun dan Julai manakala musim panas pada November, Disember dan Januari.  
  Namun apa yang terjadi di luar jangkaan. Sebaik menjejakkan kaki keluar dari Lapangan Terbang Perth pada jam 5.15 pagi, suasana yang amat sejuk menyambut kami sehingga terpaksa tergesa-gesa bergambar kenangan sebelum bergegas masuk ke dalam kenderaan yang sedia menanti.
  Turut berada di lapang terbang, rakan lama penulis, Hamidah Hamid yang kini menetap di Perth bersama keluarganya. Sempat juga Hamidah menghulurkan satu beg yang penuh dengan bekalan makanan untuk kami menjamu selera tengahari nanti. 
  Kami dibawa terus ke homestay yang terletak di Landsdale, kira-kira 30 minit dari lapangan terbang. Pasti ramai yang hairan dan tertanya-tanya; “Ada homestay di Perth?”.
  Berdasarkan pengalaman penulis bercuti di Australia sebelum ini, mana ada homestay, kalau farmstay adalah. Inilah kelainannya percutian kami kali ini. Menginap di homestay lebih mudah dan selesa kerana kita seperti berada di rumah sendiri. Kemudahan memasak disediakan dan kita tidak menghadapi masalah menyediakan makanan untuk keluarga.
  Menurut Abu Bakar yang lebih popular dipanggil Datuk Burn, pelanggan yang menggunakan khidmat Jutawan Tours boleh memilih sama ada mahu menetap di hotel, apartmen atau homestay. Tapi kebanyakan akan memilih homestay kerana lebih murah dan selesa. Paling penting homestay itu menyediakan kemudahan menggunakan peralatan memasak dan pinggan mangkuk tanpa was-was kerana pemiliknya adalah orang Melayu.
  “Selain kemudahan menginap di rumah banglo yang selesa untuk dua keluarga sehingga 10 orang, pelanggan boleh memasak sendiri atau boleh memilih pakej sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam yang akan disediakan oleh pemilik homestay. Ini lebih menjimatkan daripada makan di luar,” katanya.
  Kami disambut oleh pemilik homestay yang dipanggil Dak Long dan suaminya Zul. Dak Long adalah anak kelahiran Melaka tetapi menetap lebih 30 tahun di Perth kerana mengikut bapanya yang bekerja di tapak lombong di Pulau Cocos.
  Manakala ibu bapa Zul pula berasal dari Singapura juga bekerja di Pulau Cocos. Zul bekerja sebagai pemandu trak di Pulau Cocos dan akan pulang ke Perth setiap dua minggu. Rutin kerja Zul seperti pekerja di pelantar minyak Petronas, dua minggu di pulau dan dua minggu di tanah besar.
  Pulau Cocos adalah sebahagian daripada wilayah Australia yang terletak berdekatan Indonesia di Lautan Hindi. Kebanyakan pekerja di Pulau Cocos adalah orang Melayu yang berasal dari Singapura, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah serta Indonesia. Kebanyakan mereka masih fasih bertutur dalam bahasa Melayu mengikut dailek Indonesia atau Sabah. 
  Sarapan pagi, nasi goreng dan keropok Pulau Cocos  yang disediakan oleh Dak Long sudah cukup membuka selera kami. Selepas berehat seketika, Datuk Burn datang menjemput kami pada jam 2 petang untuk lawatan ke destinasi yang paling ditunggu iaitu Caversham Wildlife Park.
  Caversham Widlife Park menjadi tempat pelancongan wajib kerana di sini anda boleh bermain puas-puas dengan haiwan kebanggaan Australia termasuk wombat dan wallaby. Jika di Perth Zoo, haiwan itu hanya dapat dilihat di tepi pagar.
  Di sini terdapat kira-kira 100 kangaru jinak yang dilepaskan bebas di taman. Berbanding suasana di Perth Zoo, di sini lebih menarik kerana pengunjung dapat bermain sepuas-puasnya dengan kangaru sambil memberi makan dan dapat bergambar secara dekat dengan koala.
  Peluang bergambar secara dekat dengan Koala juga tidak dilepaskan. Walaupun tidak boleh dipegang kerana koala sangat sensitif, tetapi kita boleh mengusap bulunya menggunakan belakang tangan secara perlahan-lahan.
  Koala boleh dianggap haiwan yang paling malas dalam dunia kerana tidur selama 18 jam sehari dan hanya akan bangun jaga seketika untuk makan daun eucalyptus di sebelahnya sebelum kembali  tidur.
  Kami juga berpeluang menyaksikan teknik mengetam bulu biri-biri dan pertunjukan haiwan selama 30 minit di Tumbulgam Animal Show sebelum bermain-main dengan biri-biri, kuda dan almas yang jinak.
  Memandangkan banyak masa dihabiskan di sini, kami membatalkan lawatan ke kilang coklat yang ditutup pada jam 5.30 petang.
  Sementara menantikan matahari terbenam, kami singgah di pantai Marmion Marine Park yang menjadi tempat sukan luncur layang-layang. Seterusnya kami ke Hillary Boat Harbour dan Sorento Quay sebelum ke North Beach dan Scarborough Beach untuk menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam.
  Dalam perjalanan pulang ke homestay, kami singgah di Kings Park untuk menyaksikan pemandangan Perth pada waktu malam serta menikmati makan malam di Tina’s Kitchen milik Kartina rakyat Singapura yang sudah 20 tahun menetap di Perth.
  Banyak cerita menarik yang kami bualkan bersama Kartina. Tukang masaknya pula adalah pelajar Malaysia dari Kuala Selangor, Ana yang malu-malu bila diajak bergambar.
  Makan malam kami di Tina’s Kitchen yang dimiliki Kartina rakyat Singapura yang sudah 20 tahun menetap di Perth. Banyak cerita menarik yang kami bualkan bersama Kartina. Tukang masaknya pula, Ana adalah pelajar Malaysia dari Kuala Selangor sesekali menyampuk bila ditanya tetapi malu-malu bila diajak bergambar.
    “Alhamdulillah keputusan nekad saya untuk berhijrah ke sini membolehkan kami sekeluarga menikmati kehidupan yang jauh lebih baik dari Singapura. Kalau di sana, saya tidak mungkin memiliki sebuah rumah banglo dengan kolam renang dan meraih pendapatan tinggi,” katanya yang berhijrah bersama empat adik beradiknya ke sini.
   Keesokan harinya, kami bertolak ke Geraldton yang terletak kira-kira 500 kilometer dari Perth. Menurut Datuk Burn, kami adalah pelancong yang pertama memilih untuk meneroka kehidupan masyarakat Melayu Pulau Cocos yang menetap di sana. Sebelum ini, beliau hanya membawa ahli keluarganya saja ke Geraldton untuk menziarahi keluarga masyarakat Melayu Cocos.
  “Biasanya pelancong Malaysia lebih gemar menghabiskan masa di Perth. Bagi mereka buat apa hendak melawat orang Melayu Cocos, baik membeli belah dan bersiar-siar di sekitar Perth saja,” katanya.
  Inilah kelainan yang kami cari. Perjalanan hampir empat jam itu disertai Pak Ali yang sudah menetap lebih 35 tahun di Perth. Pak Ali yang berkebolehan mengurut menceriakan perjalanan dengan jenaka dan nyanyian lagu dondang sayang.
  Dalam perjalanan itu kami singgah di beberapa lokasi menarik yang menjadi tarikan pelancong. Mula-mula Taman Negara Yancheap yang popular dengan keunikan gua dan taman berusia beratus tahun selain melihat koala liar dan kangaru.  
  Kemudian kami berhenti di pantai Lancelin untuk menikmati makan tengahari yang disediakan oleh isteri Pak Ali. Hidangan nasi putih, kari kambing, ayam goreng, sambal sotong, sambal belacan cicah timun dan sayur campur memang membuatkan kami lupa berada di Australia.
  Perjalanan diteruskan ke Gurun Pinnacles yang terletak di kawasan Hutan Simpan Nambung di mana terdapat ribuan batu tegak berdiri di atas pasir berwarna kuning. Suatu pemandangan yang cukup mengagumkan.
  Walaupun batu-batu itu dipercayai berusia ribuan tahun, ia hanya ditemui di dalam pasir kira-kira 100 tahun lalu kerana kawasan ini hanya ditemui beberapa abad yang lalu. Gurun Pinnacles adalah salah satu mercu tanda unik di Australia dan disifatkan salah satu keajaiban dunia semula jadi.
  Seterusnya kami bergerak ke Geraldton melalui lebuh raya yang merentasi gurun pasir. Sepanjang perjalanan terdapat papan tanda `Awas! Kangaru melintas!”. Menurut Datuk Burn, pemandu perlu berhati-hati kerana banyak kangaru liar akan melintas sesuka hati.
  Katanya, kes perlanggaran kangaru biasa berlaku pada waktu malam kerana haiwan itu sering  tertarik dengan cahaya lampu kereta dan akan melompat keluar menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak.
  Memang benar kerana sepanjang perjalanan itu kami melihat banyak bangkai kangaru di kiri kanan jalan. Tiba-tiba kami melihat seekor kangaru dalam keadaan terkial-kial hendak bangun dari tepi jalan dan meminta Datuk Burn memberhentikan kenderaan.   Kangaru itu menjadi mangsa langgar. Sempat juga kami menyelamatkan kangaru itu dengan meletakkan di tepi jalan sebelum meneruskan perjalanan ke Geraldton. 
    Selepas `check in’ di motel, kami dibawa ke rumah Pak Adiman dan Mak Adiman yang menjadi tuan rumah makan malam. Hidangan malam itu memang cukup enak dan menyelerakan. Bayangkan meja panjang dipenuhi pelbagai sajian masakan Melayu. Kami tidak sangka mendapat sambutan meriah daripada masyarakat Melayu Cocos di kawasan itu. Ternyata mereka begitu gembira menerima kedatangan kami.
  Salah satu menu yang menarik perhatian ialah pafalova yang dibuat daripada telur oleh Faridah Adun. Kak Faridah dan suami  berasal dari Pulau Christmas.
  Keesokan harinya, sebelum kembali ke Perth, kami singgah di Masjid Al-Muhajirin untuk solat Zuhur. Di situ kami bertemu, Haji Abdul Kudus, imam  Masjid Al Muhajirin yang fasih berbahasa Melayu dan sesekali berbicara dalam bahasa Jawa.
  Abdul Kudus memberitahu, masjid ini diuruskan oleh masyarakat Melayu Cocos dan terdapat kira-kira 200 orang Melayu di situ dan masjid berkenaan menjadi tempat mereka berkumpul pada bulan puasa, hari raya serta mengadakan program keagamaan untuk mengeratkan silaturahim.
  Dari Geraldton kami bertolak ke New Norcia. Sepanjang perjalanan kami menikmati pemandangan ladang gandum, padang rumput, biri-biri dan lembu.  Kami berhenti beberapa kali untuk bergambar.
  New Norcia adalah sebuah perkampungan pertama orang Inggeris di Perth. Ia dibuka pada 1847 dan sebuah bangunan di situ bercirikan seni bina Eropah.   Perjalanan kami diteruskan lagi ke Lower Chittering untuk menziarahi kediaman Hawa Lerno, yang berasal dari Teluk Intan dan suaminya warganegara Belgium, Aziz Lerno.
  Kak Hawa sangat berbesar hati menerima kehadiran kami. Beliau bertungkus lumus menyediakan hidangan ala Melayu seperti masak lemak pucuk ranti, sambal terung dengan petai, ikan keli goreng, rendang daing, ayam masak kicap, ikan masin dan sambal belacan yang cukup membuka selera. Selepas makan malam kamid dihidangkan pula dengan  kuih seri muka, pelbagai kek dan muffin.
  Berat hati hendak meninggalkan Kak Hawa dan Abang Aziz yang sangat ramah dan mesra walaupun pertama kali bertemu.
    Hari-hari terakhir kami di Perth dihabiskan dengan membeli belah di Fremantle, berkunjung ke Kings Park, Street Mall dan London Court  yang memang menjadi lokasi kunjungan pelancong ke Perth.
  Rasa tidak puas melancong ke Perth kerana banyak kenangan manis apatah lagi dapat bertemu dengan ramai kenalan yang membuatkan kita berasa asing di sana.


















4 comments:

  1. seronoknya baca cerita ni.. saya menyimpan angan2 nak kesana juga tp mmg zero pasal keadaan disana.. kalau lah boleh nak lalui kenangan manis yang sm mcm awk lalui.

    ReplyDelete
  2. salam.. ada contact No. datuk Burn tak...

    ReplyDelete
  3. Saya pernah menginap di homestay dato burn, kata2 penulis seperti indah khabar dari rupa saja sebab saya seakan-akan mengalami mimpi ngeri menginap di homestay beliau.

    ReplyDelete
  4. kat perth pun ada holiday bungalows run by a muslim malaysian family. memang harga berpatutan dan service thumb up lah. kita boleh masak makanan halal sendiri. sebab makanan kat luar memang mahal. kami dah try penginapan. rumah sgt cantik dan kemas bersih and well fully furnished. sesuai untuk keluarga dan group. owner nya pun sgt peramah dan helpful. diaorg siap ada kereta dan mpv untuk sewa. harga sgt murah. berbaloi baloi. boleh contact 0123360098 nama anak owner tu cik siti.

    dkt youtube pun ada org dah buat review ttg mahira holiday homes ni. cuba type mahira holiday homes

    ReplyDelete